PORT DICKSON: Operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di sini terpaksa ditutup sementara berikutan terdapat masalah kualiti air mentah susulan terdapat bau minyak yang tinggi.

Pusat Khidmat Pelanggan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan bau minyak yang tinggi iaitu 19 ton menyebabkan pengeluaran pemprosesan air terawat terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan.

"Berikutan itu sebahagian besar kawasan Port Dickson akan mengalami gangguan bekalan air.

"Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami tempoh pemulihan yang lebih lama," katanya.

Katanya, kawasan yang terlibat adalah sebahagian kawasan Batu 6 Jalan Pantai, Batu 4 Jalan Pantai, Jalan Sua Betong, Air Kuning, Tampin- Linggi sehingga sekitar kawasan Pekan Port Dickson hingga Lukut.

"Turut terlibat dari Simpang Bukit Palong, Chuah, Bukit Pelandok sehingga Tanah Merah Site A," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak Sains bersedia untuk menggerakkan penghantaran air melalui lori tangki dan penempatan tangki statik di tempat-tempat yang terlibat dengan gangguan.

Selain itu, pengguna dinasihatkan untuk menyimpan dan menggunakan air secara berhemah di dalam tempoh masa gangguan.

"Sebarang maklumat dan bantuan sila hubungi 1-300-88-6982," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian